Search This Blog

Saturday, May 30, 2015

Polis periksa polis

Kuala Lumpur: Tidak pilih kasih. Itu pendirian Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya Cawangan Trafik Bukit Aman dalam memastikan anggota PDRM turut mematuhi undang-undang jalan raya dilaksanakan.
Ini dibuktikan apabila Cawangan Trafik Bukit Aman dengan kerjasama Cawangan Khas dan Kem Komandan Bukit Aman menjalankan operasi Ops Roda di kedua-dua pintu utama bangunan Bukit Aman, di sini, semalam.
Operasi itu dijalankan bagi mengesan pemandu kereta dan penunggang motosikal dalam kalangan kakitangan PDRM yang gagal mematuhi spesifikasi kenderaan ditetapkan.
Operasi bermula jam 4 petang sehingga jam 7 malam itu membabitkan 51 pegawai dan anggota polis.
Jurucakap Cawangan Trafik Bukit Aman berkata, sebanyak 234 motosikal diperiksa dan 18 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan jalan raya.
“Operasi itu dilihat sebagai tanda aras ketelusan PDRM dalam menguatkuasakan undang-undang bukan sahaja kepada orang awam, tetapi turut membabitkan anggota PDRM.
“Warga kerja PDRM tidak terlepas dengan tindakan undang-undang khususnya membabitkan undang-undang jalan raya,” katanya.
Sementara itu berdasarkan statistik, sejumlah 12,133 pesalah trafik sudah menyerah diri di seluruh negara dalam Ops Warta yang memasuki hari ke-11 semalam.
Menurut laporan, Johor berada di senarai teratas apabila seramai 2,889 individu menyerah diri diikuti Selangor (2,443), Pulau Pinang (1,012) dan Perak (976).
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mei 2015 @ 5:24 AM


OPS Roda yang dilaksanakan di pintu masuk Bukit Aman.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/54462#sthash.sQfvqjaR.dpuf

No comments:

Post a Comment