KUALA LUMPUR 3 Mei – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan akan menjalankan siasatan telus dan tanpa prejudis berhubung kes kemalangan yang mengorbankan tiga beranak di Kilometer 6.2 di Lebuh Raya Duta-Ulu Klang (Duke) awal pagi, semalam.
Mohd. Fuad Abdul Latiff
Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Mohd. Fuad Abdul Latiff berkata, mana-mana pihak yang didapati cuai sehingga menyebabkan kemalangan berlaku akan tetap dibawa ke mahkamah untuk didakwa.
“Polis telah menahan seorang lelaki Melayu berusia 31 tahun dan seorang perempuan Melayu berumur 35 tahun yang terbabit dalam kemalangan maut ini.
“Bagaimanapun, mereka telah dibebaskan dengan jaminan polis dan dikehendaki lapor semula ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur dalam masa dua minggu ini bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.05 pagi semalam, tiga beranak termasuk seorang bayi tujuh bulan maut setelah kenderaan utiliti sukan (SUV) Pajero Sport yang dinaiki mereka berlanggar dengan dua buah Perodua Myvi sebelum terbalik di Kilometer 6.2, Lebuh Raya Duta-Ulu Klang (Duke).
Mangsa yang terkorban ialah pemandu Pajero Sport, Allahyarham Fairuz Nizam Husain, 35, serta isterinya, Nova Safitri Azhari,27, dan bayi mereka, Nur Firuza Annisa.
Tambah Abdul Latiff, pihaknya merayu orang ramai yang menyaksikan kemalangan itu supaya tampil bagi membantu siasatan yang masih dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Polis juga berharap semua pihak termasuk media menghentikan sebarang spekulasi mengenai kes kemalangan ini dan berhenti mengeluarkan kenyataan yang tidak tepat kerana ia mungkin menjejaskan siasatan polis dalam usaha kita mendapatkan kebenaran,” katanya.
No comments:
Post a Comment