BENGHAZI - LIBYA. Perdana Menteri Libya, Abdullah al-Thani terselamat daripada satu cubaan membunuhnya di bandar timur Tobruk, menurut jurucakap kerajaan, kelmarin.

Hatem el-Quraybi berkata, beberapa das tembakan dilepaskan ke arah kereta beliau ketika pemimpin terbabit mahu meninggalkan kawasan di mana sesi Parlimen berlangsung.

"Insiden itu menyebabkan seorang pengawal peribadinya cedera. Pihak berkuasa juga telah memulakan siasatan," katanya lagi.

Ahli Parlimen, Faraj Abu Hashem memaklumkan kumpulan lelaki bersenjata tersebut cuba menyerbu bangunan terbabit, namun gagal.

Pada Januari tahun lalu, Menteri Dalam Negeri, Sadiq Abdulkarim juga terlepas cubaan bunuh di Tripoli kira-kira tiga minggu selepas Timbalan Menteri Industri, Hassan al-Droui ditembak mati di Sirte. - AFP