GEORGETOWN - Penggemar durian mungkin berdepan risiko koma ataupun serangan sakit jantung sekiranya memakan durian yang dicelup pewarna.
Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), NV Subarrow berkata, pewarna tersebut kemungkinan mengandungi bahan kimia yang mendatangkan masalah kesihatan kepada manusia.

"CAP menggesa Kementerian Kesihatan menyiasat isu durian yang dicelup pewarna sehingga menjadi viral di laman sosial.

“Tidak dinafikan, selepas isu ini tersebar orang ramai semakin takut untuk makan buah tempatan, ia sesuatu perkara yang tidak baik,” katanya.

Aktif dalam penyelidikan makanan, Subarrow menggesa supaya buah-buahan dari luar negara diperiksa terlebih dahulu.

“Bukan sahaja durian tetapi segala jenis makanan seperti buah dan sayur-sayuran juga perlu diperiksa sama ada mengandungi bahan terlarang atau tidak,” katanya.
Beliau turut menggesa supaya orang ramai lebih peka dengan makanan yang dibeli setiap hari.

“Periksa dengan betul dan sentiasalah peka dengan berita semasa supaya kita tidak ketinggalan untuk mengetahui isu pemakanan yang semakin hari semakin mencabar,” katanya.

Sementara itu, Adun Pulau Betong, Muhamad Farid Saad berkata, pengguna dinasihat tidak memakan durian yang bertangkai kuning seperti yang menjadi viral di laman sosial bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

"Durian yang mencetuskan kebimbangan itu dipercayai dibawa masuk dari Thailand sejak beberapa bulan lalu dan dijual di Kuala Lumpur, bagaimanapun masih belum ada cerita mengenai penjualannya di negeri ini.

"Cuma tidak dinafikan, di Balik Pulau juga ada yang menjual durian dari Thailand atau durian siam, tapi ia bukanlah durian yang diwarnakan," katanya.

Bagi mengatasi kes penipuan berkenaan, Muhamad Farid menggesa orang ramai mendapatkan durian asli dari Balik Pulau.

Menurutnya, bermula penghujung Mei, terdapat dua lokasi yang sudah pun menjual durian asli berkenaan, termasuk di Sungai Pinang dan Pulau Betong.

"Sudah tentu rasa durian di sini amat berbeza dengan durian di luar sana kerana ia dipengaruhi dengan faktor angin bukit dan angin laut.

"Durian Balik Pulau rasanya lebih berlemak, manis dan ada pahit sedikit. Itulah yang menjadi kegilaan penggemar durian,” katanya.

Beliau berkata, durian dijangka lebih banyak gugur dan dijual kepada orang ramai menjelang pertengahan Ramadan nanti.

"Durian Balik Pulau gred A biasanya dijual pada harga antara RM20 hingga ke RM30 sekilogram.

"Bagaimanapun, saya ingin menasihatkan peniaga supaya tidak menipu pelanggan.

"Kalau durian siam, beritahu awal-awal, jangan tipu dengan kata durian dari sini. Itu boleh menjejaskan imej kita," katanya.