SEREMBAN – Cubaan samun dua penjenayah terhadap rumah mantan Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Hon Choon Kim di Taman Dawn di sini, tidak berjaya apabila suspek terkejut diacukan pistol oleh mangsa.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, suspek berusia lingkungan 20-an  mengacukan parang ke arah pembantu rumah mangsa, seorang warga Indonesia berusia 28 tahun yang ketika itu sedang menyapu sampah di halaman rumah.

Choon Kim, 67, berkata, ketika kejadian dia berada di dalam bilik sedang bersiap sedia untuk ke hospital ,namun dikejutkan dengan jeritan pembantu rumahnya.

“Isteri saya beritahu berkemungkinan ada sesuatu kejadian tidak diingini berlaku dan meminta saya untuk melihat.

“Saya kemudian mengambil pistol yang disimpan dan keluar, tapi terkejut bila nampak seorang lelaki meletakkan parang di leher pembantu rumah kami,” katanya.

Menurutnya, dia mengacukan pistol kepada suspek, menyebabkan suspek terkejut dan cuba menyerangnya dengan parang.

Kata Choon Kim, dia sempat mengelak namun libasan parang tersebut terkena pada jari hantu tangan kanannya.

“Suspek kemudian terus melarikan diri dengan seorang lagi rakannya dipercayai menunggu di luar. Mujurlah pembantu rumah dan ahli keluarga saya selamat dan saya hanya mengalami cedera ringan terkena parang suspek,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun mengesahkan menerima laporan dan siasatan masih dijalankan.