KUANTAN - Seorang penunggang maut selepas motosikal yang ditunggang terjatuh akibat bergesel dengan sebuah lori di Jalan Pintasan Kuantan berhampiran Taman Datuk Rashid di sini, petang kelmarin.

Dalam kemalangan kira-kira jam 6 petang itu, mangsa, Mohd Nor Nazril Amin Saharuddin Ariffin, 34 berasal dari Pasir Puteh, Kelantan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Pemangku Pegawai Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Asisten Superintendan Zainalabidin Othman berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Wave dalam perjalanan dari arah Kuantan menghala ke Pelabuhan.

Menurutnya, ketika kejadian mangsa dipercayai menunggang menggunakan laluan bahu jalan sebelum bergesel dengan lori yang datang dari arah sama.

“Siasatan awal mendapati motosikal mangsa bergesel dengan tayar bahagian tengah sebelah kiri lori tersebut sebelum terjatuh manakala mangsa tercampak ke atas jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Zainalabidin berkata, mayat mangsa yang sebelum ini bekerja sebagai pekerja sebuah chalet dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat sebelum jenazah dituntut keluarga untuk dikebumikan.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku di laluan lurus, jalan sehala dua lorong dan cuaca baik.

“Kita mengambil keterangan daripada pemandu lori berusia 54 tahun dari Batu 12 Jalan Gambang dekat sini untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.