Search This Blog

Tuesday, May 26, 2015

Pengemis suspek culik 
kanak-kanak ditahan


26 Mei 2015 12:58 AM


KOTA BHARU 25 Mei – Seorang lelaki yang disyaki menculik kanak-kanak berusia tujuh tahun sebelum memaksanya mengemis di sebuah pasar raya di bandar ini ditahan polis di hadapan Masjid Muhammadi hari ini.
Ketua Polis negeri, Datuk Mazlan Lazim berkata, suspek yang berusia 22 tahun itu ditahan orang ramai sebelum diserahkan kepada polis kira-kira pukul 10.30 pagi.
Beliau berkata, ketika ditahan, suspek yang juga seorang gelenda­ngan sedang mengemis berhampiran masjid berkenaan malah dia juga gagal mengemukakan sebarang kad pengenalan diri.
“Kita menerima maklumat mengenai seorang lelaki yang menculik kanak-kanak tersebut pada Jumaat lalu. Lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik.
“Polis juga sedang siasat sama ada suspek terlibat dengan mana-mana sindiket peminta sedekah-sebelum ini,” katanya dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Semalam, akhbar ini melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang hilang ketika solat Isyak di Masjid Muhammadi bersama bapanya Jumaat lalu nyaris menjadi mangsa sindiket mengemis.
Selepas dilaporkan hilang kira-kira pukul 9 malam, mangsa, Aiman Kamarolzaman bagaimanapun ditemukan orang ramai sedang meminta sedekah di pekarangan kompleks beli belah KB Mall pada pukul 7.30 petang Sabtu lalu.
Tambah Mazlan, polis sedang menjalankan siasaran berkemungkinan terdapat mangsa lain yang turut diculik.
“Soal siasat lanjut akan dilakukan terhadap suspek bagi mengetahui sekiranya terdapat mangsa lain. Kita juga masih menyiasat sama ada mangsa turut dicederakan oleh suspek.
“Usaha sedang dijalankan untuk mengenal pasti latar belakang sebenar suspek melalui cap jarinya. Mangsa tidak berapa petah bercakap jadi kita akan mendapatkan bantuan daripada pakar kanak-kanak selain mendapatkan pengecamannya,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/pengemis-suspek-culik-8232-kanak-kanak-ditahan-1.95815#sthash.u1LePtqr.dpuf

No comments:

Post a Comment