Selain menjual dadah secara tunai, lelaki berusia 50-an itu turut menggunakan sistem tukar barang dalam aktiviti haram menukar bekalan dadah dengan hasil barangan daripada kegiatan pecah rumah.
Namun, kegiatan lelaki itu berakhir setelah ditahan dalam serbuan polis kelmarin.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, serbuan kira-kira pukul 2.30 pagi itu dibuat hasil risikan dan intipan anggotanya serta maklumat awam.
“Semasa serbuan dilakukan, lelaki berkenaan cuba melarikan diri tetapi berjaya ditahan. Pemeriksaan di dalam rumah suspek menjumpai 248.09 gram heroin, Eramin 5 (18.16 gram), syabu dalam peket (1.01 gram) dan syabu dalam straw (0.96 gram ) serta alat penimbang digital.
“Kita juga menemui pelbagai barangan disyaki curi seperti 28 telefon bimbit, dua unit komputer riba, tiga kamera dan dua kad pe­ngenalan individu lain serta sebuah beg mengandungi wang tunai berjumlah RM6,440,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub di sini hari ini.
Yang turut hadir Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah, Asisten Superintenden Yusof Kames @ Safiee dan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Asisten Superintenden Mohd. Hafiz Jehangir Shah.
Menurut Wan Mohd. Zahari, hasil soal siasat terhadap lelaki itu kemudian membawa kepada penahanan dua lagi suspek dipercayai terlibat dalam kes pecah rumah dan memiliki dadah mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
Beliau memberitahu, kejayaan penahanan tiga suspek berkenaan menyelesaikan enam kes pecah rumah di daerah ini sejak dua tahun lalu.
Katanya, siasatan awal mendapati kesemua suspek positif dadah dan suspek utama mempunyai 13 rekod jenayah sejak tahun 1980-an.