PUTRAJAYA - Polis sedang mengesan seorang pengarah syarikat Rossington Consolidated Sdn Bhd (RCSB) bagi membantu siasatan berhubung kes surat sokongan palsu Kementerian Pendidikan yang digunakan untuk membuat pinjaman RM5.7 juta daripada CIMB Bank.

Timbalan Ketua Polis Daerah Putrajaya Superintendan Mak Pak Chuai berkata pihaknya

menerima laporan daripada wakil Kementerian Pendidikan pada 16 Ogos tahun lepas yang mendakwa tandatangan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tan Sri Dr Zulkarnain Awang dipalsukan di atas dokumen 'Letter of Consent' yang digunakan untuk membuat pinjaman itu.

Hasil siasatan polis mendapati syarikat terbabit berjaya memperoleh pinjaman tersebut, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mak mengikut perjanjian antara CIMB dan RCSB, semua pembayaran kerja kontrak oleh Kementerian Pendidikan akan dibayar kepada 'Akaun Escrow' yang diwujudkan di atas

persetujuan pengarah-pengarah syarikat itu dan CIMB.

Katanya pemalsuan itu menyebabkan CIMB Bank mengalami kerugian sebanyak RM5.7 juta.

Menurutnya orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes tersebut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Balwant Singh di Bahagian Siasatan jenayah Komersial IPD Putrajaya di talian 03-88862044 atau 012-2889007. - Bernama