Pemuda yang identitinya tidak didedahkan diselamatkan pengawal pantai setelah dia nyaris maut gara-gara gurauan rakan-rakannya yang membiarkan dia hanyut di laut.
Menurut Daily Mail, pemuda berusia 22 tahun itu yang tidak didedahkan namanya dibiarkan hanyut di atas sebuah perahu udara yang tidak mempunyai pendayung dekat Britannia Pier di Great Yarmouth, Norfolk.
Lelaki itu cuba mendayung menuju ke pantai, tetapi perahunya mula kehilangan udara dan angin kuat menolak perahunya ke tengah laut North Sea dan terdedah kepada kapal-kapal besar.
Sejam kemudian, rakan-rakan mangsa mula menyedari perbuatan mereka itu salah dan menimbulkan bahaya kepada pemudan itu lalu menghubungi bot penyelamat di Great Yarmouth dan Gorleston untuk membantu mencari dan menyelamatkannya.
Bot penyelamat pantai, Samarbeta Atlantik dan Seahorve 1V telah dikerah mencari dan menyelamatkan pemuda itu pada pukul 3.23 petang pada Khamis lalu.
Pasukan penyelamat kemudian mengesan lelaki itu kira-kira dua batu di luar pantai Britannia Pier.
Seorang pengawal pantai HM Coastguard berkata, selepas mereka menerima panggilan mereka telah meminta bot penyelamat di Gorleston membantu mencari dan menyelamatkan pemuda itu.
“Kami berjaya menyelamatkan lelaki itu dan menarik perahunya ke pantai. Lelaki itu berada dalam keadaan baik,” katanya.
Menurut seorang pegawai penyelamat, Paddy Lee, ``Pemuda itu bernasib baik. Kejadian seperti ini boleh bertukar menjadi satu mala petaka,’’
“Pemuda itu bernasib baik kerana dibawa ombak ke kawasan laluan perkapalan. Perahunya sudah kehilangan udara dan dia hanya memakai seluar pendek dan kemeja T. Air laut pula terlalu sejuk ketika itu,” katanya.