Search This Blog

Monday, May 11, 2015

Pemberontak Mao bunuh satu tebusan, bebas 250


Raipur (India): Seorang tebusan terbunuh manakala 250 lagi dibebaskan di Chhattisgarh selepas pemberontak Mao menangkap mereka pada malam sebelum Perdana Menteri Narendra Modi dijadualkan melawat negeri itu.
Menurut polis, kumpulan pemberontak itu menghimpunkan penduduk kampung, Jumaat lalu sebelum membawa mereka ke dalam hutan bagi membantah pembinaan jambatan di daerah itu.
Ketua polis daerah Inspektor S R P Kalluri berkata: “Semua penduduk kampung berjaya diselamatkan lewat kelmarin kecuali seorang yang terbunuh di tangan pemberontak Mao.
Menurut polis, mangsa ditembak mati selepas mahkamah palsu ‘mendapatinya bersalah’ menggalak orang lain mengambil bahagian dalam pembinaan jambatan itu.
Pemberontak Mao membantah pembinaan jambatan itu kerana bimbang pasukan keselamatan berjaya menjejaki tempat persembunyian mereka dengan mudah, kata ahli parlimen tempatan, Kawashi Lakma.
Katanya lagi, penduduk kampung dijadikan tebusan kerana enggan tunduk dan tidak menghadiri perjumpaan diadakan kumpulan pemberontak itu.
Penahanan tebusan adalah taktik sering digunakan gerila untuk memaksa penduduk kampung menyokong perjuangan mereka.
Kumpulan itu mendakwa memperjuangkan hak penduduk minoriti dan petani yang tidak bertanah sejak berdekad lalu.
Kumpulan pemberontak itu menentang pemerintahan kerajaan Delhi sejak 1967 dengan memperjuangkan penubuhan masyarakat komunis.
Mereka merekrut penduduk tempatan yang hidup miskin dan tinggal di kawasan yang sering diabaikan kerajaan.
Kumpulan itu dipercayai berada di kira-kira 20 negeri tetapi paling aktif di Chhattisgarh, Orissa, Bihar, Jharkhand dan Maharashtra.
Pemberontakan mereka mengorbankan ribuan nyawa dalam pengeboman dan serangan ke atas pihak polis dan tentera. - AFP
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/49978#sthash.HZVneKw4.dpuf

No comments:

Post a Comment