MANCHESTER - ENGLAND. Seorang lelaki dipenjarakan enam tahun selepas mengaku bersalah memandu secara merbahaya, memandu tanpa lesen dan insurans dan menyebabkan kematian, semalam.
Menurut Dailymail, Addil Haroon, 19 juga dilarang memandu selama enam tahun selepas terlibat kemalangan yang menyebabkan kematian Joseph Brown-Lartey, 24 dalam sebuah kemalangan pada 9 November tahun lepas.
Siasatan mendapati Addil menggunakan telefon bimbit sambit memandu untuk merakam meter kelajuan Audi A6 yang dipandunya, 24 jam sebelum kejadian.
Foto tersebut, yang dikongsikan beliau di laman Snapchat menunjukkan meter kelajuannya mencecah 142 batu per jam (228 kilometer per jam).
Pegawai pendakwaraya, Lisa Boocock menganggap tindakan tersebut membuktikan kecuaian defendan yang tidak mempedulikan keselamatan dirinya dan pengguna jalanraya yang lain.
"Beliau adalah seorang pemuda yang suka menunjuk dan membangga diri dengan kereta mereka," tambah Boocock.
Seorang polis yang berada pada 120 meter dari tempat kejadian memberitahu mahkamah bahawa Addil memandu dengan kelajuan 80 batu per jam di kawasan had kelajuan 30 batu per jam.
Dalam kejadian tahun lepas tersebut, Addil melanggar lampu merah dan melanggar kereta Audi A5 yang dipandu Brown-Lartey, menyebabkan kenderaan mangsa putus dua.
Menurut seorang pegawai polis, tindakan Addil telah 'memusnahkan' keluarga Brown-Lartey.
"Beliau tiada insurans, tiada lesen dan memandu secara merbahaya, dan Brown-Lartey yang menerima akibatnya," kata Sarjan Paul Higgins.
"Kemalangan tersebut merupakan kemalangan yang paling dahsyat pernah saya saksikan sepanjang karier saya," tambahnya.