ZIME YAAK ob mengiringi jenazah Mohamad Nur Akram Zime (gambar kecil) yang maut setelah disepak seniornya, untuk dibawa pulang bagi urusan pengebumian di Tanah Perkuburan Wakaf Berangan, Pasir Puteh, Kelantan, semalam. – BERNAMA
KOTA BHARU 12 Mei - Seorang pelajar kolej berusia 16 tahun meninggal dunia dipercayai selepas terkena ‘sepakan maut’ daripada seorang seniornya di sebuah asrama sebuah kolej di Bachok, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.40 malam itu, suspek berusia 17 tahun dikatakan telah ke bilik mangsa, Mohamad Nur Aqram Zime dan mengejutkannya yang sedang tidur sebelum menyepak pada bahagian leher.
Ketua Polis negeri, Datuk Mazlan Lazim berkata, mangsa yang rebah dan tidak sedarkan diri selepas dua kali disepak, dibawa ke klinik berhampiran sebelum disahkan meninggal dunia pada kira-kira pukul 1.30 pagi.
“Mayat pelajar jurusan kejuruteraan elektrik itu kemudian dibawa ke Hospital Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat.
“Hasil laporan bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia disebabkan pukulan kuat pada bahagian kanan leher sehingga menyebabkan saluran darah di otak putus.
“Kita percaya suspek mempunyai ilmu dan kemahiran seperti tomoi atau silat kerana itu memang pukulan maut. Walaupun mangsa tidak bersendirian dalam bilik asrama tersebut tetapi pelajar-pelajar lain bagaikan takut untuk menghalang suspek,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Mazlan, berdasarkan keterangan saksi, Mohamad Nur Aqram dipukul hanya disebabkan suspek berang dengan tindakannya yang dikatakan tidak menghormati pelajar senior.
Tambahnya, suspek ditahan hari ini dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menasihatkan kepada pelajar lain supaya tidak mengambil tindakan luar batas seperti memukul atau membuat perkara menyalahi undang-undang.
“Jika melakukan kesalahan sebegini, mereka akan tetap disiasat seperti pesalah kes jenayah yang lain,” tegasnya.
No comments:
Post a Comment