ALOR SETAR - Cubaan empat pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Thailand yang mahu menceroboh masuk ke negara ini untuk mencuri hasil hutan, gagal apabila mereka ditahan anggota tentera yang melakukan rondaan di sempadan Malaysia-Thailand, awal pagi semalam.

Pengarah Jabatan Imigresen Kedah, Mohamad Yusri Hashim berkata, tentera dari Kem Sahara berdekatan Kota Putra menahan Pati terbabit di kawasan Durian Burung, Padang Terap, selepas mendapati terdapat pencerobohan oleh warga asing pada kira-kira 7 pagi.

Beliau berkata, pada mulanya terdapat lima Pati yang cuba menceroboh, namun hanya empat berjaya ditahan manakala seorang lagi berjaya melarikan diri ke sempadan.

Hasil pemeriksaan mendapati kesemua yang ditahan tidak memiliki dokumen perjalanan dan kes disiasat di bawah Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63, menurutnya dalam satu kenyataan hari ini.

"Pati diserah kepada pihak kami untuk siasatan lanjut," katanya.

Dalam perkembangan lain, Imigresen negeri telah menahan dua Pati warga Kemboja pada 2.30 petang semalam ketika cuba memasuki Malaysia secara haram buat kali ketiga melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), Bukit Kayu Hitam.

Mohamad Yusri berkata, pegawai imigresen yang sedang menjalankan pemeriksaan mendapati kedua-dua Pati yang berumur 33 dan 36 tahun itu turut cuba memberi rasuah kepada pegawai bertugas.

"Kita syaki mereka bukan masuk ke Malaysia sebagai pelancong tetapi atas urusan lain. Mereka telah ditahan dan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan ditahan di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009," katanya. - Bernama