CAMBRIDGE - ENGLAND. Sekurang-kurangnya 20 pengguna jalanraya akan didenda kerana memperlahankan kenderaan untuk 'menonton' atau merakam satu kemalangan yang berlaku semalam.

Menurut Dailymail, jenis pemandu yang digelar 'rubberneckers' tersebut telah diberikan amaran akan diminta hadir ke mahkamah dalam tempoh dua minggu selepas kejadian.

Pemandu yang memperlahankan kenderaan atau memandu sambil merakam menggunakan telefon bimbit akan didakwa atas kesalahan pemanduan cuai yang boleh didenda sebanyak £5,000 (RM28006.63) dan penalti.

Jurucakap polis Cambridgeshire memberitahu, menggunakan telefon semasa memandu termasuk dalam empat kesalahan utama semasa memandu.

Kesalahan utama semasa memandu yang lain adalah tidak memakai tali pinggang keledar, memandu laju dan memandu mabuk atau berada di bawah pengaruh dadah.

"Reaksi pemandu akan menjadi 50 peratus lebih perlahan dan anda berkemungkinan terlibat kemalangan," jelas pegawai polis tersebut.

Menurut seorang pengguna jalan raya yang terperangkap dalam kesesakan jalan raya akibat kemalangan semalam memberitahu ramai pemandu menggunakan telefon bimbit untuk merakam.

"Mereka memandu perlahan dan menyebabkan pemandu di belakang mereka juga perlahan," katanya.

Dalam kejadian semalam, dua buah lori kontena berlanggar sesama sendiri di lebuhraya A14 berdekatan Cambridge, menyebabkan kesesakan lebih tujuh jam.