KATHMANDU - NEPAL. Usaha pencarian mangsa gempa termasuk pendaki yang hilang di Nepal dihentikan seketika akibat cuaca buruk.

Menurut laporan Reuters, pencarian di Lembah Langtang turut dihentikan kerana berlaku runtuhan salji dan tanah runtuh yang boleh mengancam nyawa pasukan penyelamat.

Gempa berukuran 7.8 pada skala Richter yang menggegar Nepal sejak dua minggu lalu telah mengorbankan 7,913 orang dan mencederakan 17,800 penduduk.

"Runtuhan salji berlaku secara kerap di kawasan itu. Jadi, ia menyukarkan misi mencari mangsa gempa di sekitar Langtang.

"Pasukan penyelamat kini bealih ke kawasan yang lebih selamat," kata pegawai daerah, Gautam Rimal semalam.

Menurut Rimal, sejumlah 20 mayat berjaya ditemui kelmarin menjadikan angka kematian di Langtang bertambah kepada 120 orang.

Katanya lagi, pencarian di Langtang akan disambung semula sebaik sahaja cuaca bertambah baik.

Sementara itu, mayat sembilan pendaki warga asing yang terbunuh di Langtang telah dihantar ke Kathmandu.
Kebanyakan warga Eropah berada di Nepal untuk mendaki puncak tertinggi dunia, Everest serta menyusuri wilayah terpencil Langtang di tepi banjaran Himalaya di mana terletaknya pusat gegaran gempa dicatatkan dua minggu lalu. - Reuters