Search This Blog

Wednesday, May 13, 2015

Menangis tanpa henti

Temerloh: Seorang wanita warga India hanya mampu menangis selepas Mahkamah Tinggi, di sini, semalam, menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadapnya atas kesalahan mengedar dadah seberat 2.2 kilogram, dua tahun lalu.
Tertuduh, Malti, 60, yang berasal dari New Delhi, India, berterusan menangis sehingga ke luar mahkamah selepas memahami hukuman yang dibacakan penterjemah bahasa Hindi.
Hakim Datuk Abdul Karim Ab Rahman menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes prima facie terhadap tertuduh dan berpuas hati dengan semua hujah dikemukakan pihak pendakwaan dan pembelaan.
Dalam hujah penghakimannya, Abdul Karim berkata, pihak pembelaan gagal membuktikan wujudnya individu lain seperti yang didakwa walaupun tertuduh mengaku menjadi keldai dadah.
Malah, dakwaan tertuduh yang mengatakan dia masuk ke negara ini untuk bekerja sebagai pembantu rumah juga meragukan kerana mempunyai tiket penerbangan pergi dan balik.
Terdahulu, peguam tertuduh Muhd Hisham Abdul Rahim ketika mengemukakan rayuan memohon mahkamah meringankan hukuman atas alasan tertuduh mempunyai penyakit kencing manis dan darah tinggi selain usianya yang agak lanjut, malah kesalahan itu kali pertama dilakukannya.
Hisham memaklumkan, tertuduh yang mempunyai suami dan lima orang anak serta cucu tinggal di kawasan perkampungan miskin.
Mengikut kertas pertuduhan, Malti didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 2,245.3 gram selepas ditahan bersama dadah berkenaan di Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah (LTSAS), Kuantan pada 10 Oktober 2013 jam 11 pagi.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mei 2015 @ 5:12 AM


Malti dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi selepas dijatuhi hukuman gantung sampai mati.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/50524#sthash.OwnsdVLv.dpuf

No comments:

Post a Comment