Search This Blog

Saturday, May 23, 2015

Mayat pertama ditemui

Johor Bahru: Mayat seorang kru kapal korek Ocean Line SC208 yang terbalik dan hampir karam di perairan Tanjung Sedili, Kota Tinggi, pada Rabu lalu, dijumpai kira-kira 14 batu nautika dari lokasi nahas.
Pengarah Operasi Daerah Maritim Tanjung Sedili Komander Maritim Mustafa Kamal Abas berkata, mayat itu dijumpai hasil maklumat daripada sebuah kapal berhampiran yang memaklumkan mengenai penemuan itu jam 3.45 petang semalam.
“Satu mayat lelaki yang belum diketahui warga negaranya dijumpai dan selepas dimaklumkan kru kapal Kanata Spirit, kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di kawasan dinyatakan.
“Mayat berkenaan diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk dibawa ke Jeti Marina Tanjung Pengelih Kota Tinggi sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan untuk mencari 13 lagi mangsa yang masih hilang dan ditangguhkan pada 7 malam sebelum diteruskan semula pada 7 pagi esok.
Katanya, kawasan pencarian SAR diperluaskan ke 15 batu nautika ke utara dan timur dari lokasi nahas yang disertai oleh aset daripada APMM, TLDM dan Pasukan Polis Marin.
“Sebuah kapal dan dua bot APMM, selain pasukan penyelam TLDM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terbabit dalam misi ini,” katanya.
Akhbar sebelum ini melaporkan mengenai nasib 14 kru kapal korek berkenaan yang masih tidak diketahui selepas kapal dinaiki mereka terbalik dan hampir karam di perairan Beting Ramunia 8.6 batu nautika dari Tanjung Punggai Kota Tinggi, awal pagi kelmarin.
Harapan semakin tipis untuk memastikan baki 13 mangsa ditemui selamat berikutan anggota penyelam gagal menemui mana-mana mangsa sehingga operasi ditangguhkan semalam.
Akhbar melaporkan mangsa yang ditemui dipercayai menjerit meminta tolong sejurus kapal malang itu terbalik seperti diakui satu-satunya mangsa yang terselamat iaitu jurutera kapal, Li Guozheng, 51, seorang warga China.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mei 2015 @ 9:08 AM


Anggota pasukan SAR menemui mayat mangsa kapal korek Ocean Line yang terbalik.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/52933#sthash.NxtxeL4c.dpuf

No comments:

Post a Comment