KAMPUNG GAJAH -  Mayat seorang lelaki ditemui terapung di kawasan tali air,  Bukit Chawi, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Fakri Che Sulaiman berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam mengenai penemuan mayat berkenaan kira-kira jam 4.43 petang.

"Mayat terbabit ditemui hanya berseluar dan tidak berbaju.

"Berdasarkan keadaan mayat, mangsa dipercayai meninggal dunia kira-kira sehari sebelum ditemui," katanya.

Menurutnya, mayat dibawa ke Hospital Changkat Melintang untuk bedah siasat.

"Hasil bedah siasat mendapati mangsa mati akibat lemas dan tiada unsur jenayah dikesan pada tubuh mangsa.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan setakat ini identiti mangsa belum lagi dikenal pasti," katanya.