KUALA LUMPUR - Seorang lelaki maut selepas kenderaan yang dipandunya dipercayai terbabas dan melanggar pembahagi tembok pemisah lorong laluan kenderaan di Plaza Tol Sunway Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) di Petaling Jaya pagi tadi.
  
Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata dalam kejadian  kira-kira 4.40 pagi itu, Beh Chee Kong, 41, seorang pengurus sebuah syarikat pengangkutan, dipercayai memandu dari arah Bandar Sunway ke Puchong sebelum kenderaan dipandunya terbabas dan melanggar kon pemisah antara lorong dan pembahagi/tembok antara lorong enam dan lorong tujuh plaza tol berkenaan.
  
"Akibat kemalangan tersebut, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala, badan dan kaki. Dipercayai mangsa maut di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan.
  
Menurutnya, siasatan awal polis terhadap keadaan lokasi mendapati bahu jalan tidak berturap serta keadaan jalan kering tanpa pasir.
  
"Keadaan cuaca baik tambahan diterangi lampu jalan dan tiada kesan brek dijumpai di lokasi kemalangan," katanya.
  
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama