Menurut sumber polis, selain menumpaskan aktiviti haram makmal tersebut, dadah jenis heroin lebih daripada 20 kilogram berjaya dirampas dan tiga suspek termasuk seorang wanita ditahan dalam serbuan kira-kira pukul 1.45 pagi itu.
“Serbuan ini digerakkan oleh Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman dan ketika serbuan dijalankan ada di antara suspek tersebut yang sedang memasak sesuatu dipercayai dadah.
“Terdapat kelengkapan yang dipercayai digunakan untuk memproses dadah turut dirampas dalam serbuan tersebut,” katanya di sini hari ini.
Kata sumber itu, salah seorang daripada suspek lelaki yang ditahan itu mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya,” ujarnya.
Difahamkan, satu sidang akhbar mengenai kejayaan polis membongkar makmal dadah itu akan dibuat oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah esok.