Search This Blog

Wednesday, May 13, 2015

Letupan bawah tanah

Jalan bergegar selama beberapa minit. Sebelum itu kedengaran bunyi seperti benda meletup di bawah tanah sebelum disusuli gegaran.
Itu gambaran yang boleh penulis berikan ketika gempa bumi terbaru di sini dengan magnitud 7.3 kira-kira jam 1 petang waktu tempatan semalam.
Ketika kejadian, penulis yang kebetulan berada di Jalan Thamel di tengah pusat bandar dan kepala penulis terasa sedikit pening kesan gegaran yang berlaku.
Sejurus gegaran dirasakan, keadaan menjadi kelam kabut dan orang ramai mula panik dan berlari tanpa arah tuju, selain ada yang kelihatan menangis.
Mujur penulis bersama seorang doktor misi Kelab Ekspedisi Global, Dr Lee dan wartawan Astro Awani selamat berikutan berada di luar bangunan hotel ketika gegaran berlaku.
Menurut laporan pihak berkuasa, gegaran besar berlaku sebanyak tiga kali di seluruh Nepal dengan magnitud antara 5.6 hingga 7.3.
Difahamkan pusat gempa terletak 80 kilometer dari bandar ini, namun kesannya amat dirasakan dan bekalan elektrik masih terputus sehingga jam 6 petang semalam.
Seorang rakyat Malaysia, Benjamin Franklin yang ditemui penulis berkata, ketika kejadian dia berada dalam sebuah restoran untuk makan tengah hari.
“Ketika makanan tiba, keadaan dalam restoran seperti bergoncang dan semua pelanggan berlari keluar dalam keadaan tergesa-gesa. Saya turut berlari keluar untuk menyelamatkan diri. Syukur kami selamat,” katanya.
Menurut seorang penduduk tempatan gegaran semalam, sama seperti gempa bumi yang berlaku pada 25 April lalu dan orang ramai berkumpul di atas jalan raya sementara menunggu arahan seterusnya daripada pihak berkuasa.
“Semua kedai sudah ditutup dan sehingga ke waktu malam, bekalan elektrik masih terputus dan penduduk lebih rela menunggu di tepi jalan dan kawasan lapang kerana takut untuk masuk ke dalam bangunan.
“Setakat ini keadaan agak tenang, namun trauma dalam kalangan penduduk yang masih merasai pemergian insan tersayang dan rumah kediaman yang musnah dalam kejadian 25 April lalu membuatkan mereka berhati-hati untuk meneruskan rutin harian,” katanya.
Kumpulan wartawan pula masih menunggu pengangkutan untuk ke lapangan terbang, namun sehingga berita itu ditulis semua kenderaan tidak bergerak dan jalan raya juga sesak dengan manusia.
Anggota tentera dan polis pula melakukan rondaan di sekitar bandar bagi mengelak kecurian atau pihak tidak bertanggungjawab memecah masuk kedai yang ditutup.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mei 2015 @ 5:20 AM

BANGUNAN yang ranap selepas gegaran.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/50548#sthash.ftNA7e1C.dpuf

No comments:

Post a Comment