KUALA SEPETANG – Perjalanan pulang dua beranak dari menjala ikan berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka lemas selepas bot dinaiki berlanggar dengan sebuah bot lain berhampiran muara Kuala Sangga, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, mangsa, Beh Seng Huat, 55, bersama anaknya, Beh Chin Kean, 30, terjatuh dari bot dinaiki selepas berlanggar dengan sebuah lagi bot yang dalam perjalanan ke muara Kuala Sangga untuk melihat pukat.

Chin Kean berjaya diselamatkan oleh nelayan yang melihat insiden tersebut, namun suasana gelap menyukarkan mereka untuk mencari Seng Huat.

Pemangku Ketua Polis Daerah Taiping, Superintendan Ismail Che Isa berkata, mayat Seng Huat  hanya ditemui  pada kira-kira jam 8 pagi, 10 meter dari lokasi kejadian menerusi gerakan mencari dan menyelamat yang dilancarkan bersama agensi keselamatan lain.

Menurutnya, ketika kejadian, mangsa yang duduk di bahagian enjin, terjatuh  sebaik berlaku perlanggaran itu.

“Bagaimanapun, kedua-dua bot yang terlibat dalam perlanggaran itu tidak terbalik.

"Kematian mangsa diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Sementara itu, Chin Kean berkata, menjadi rutin mereka berdua turun ke laut untuk melihat pukat dan menaikkan ikan.

Katanya, bagaimanapun ketika dalam perjalanan pulang, bot mereka  berlanggar dengan sebuah bot nelayan.

“Saya mula panik bila jatuh dalam laut, ditambah pula dengan cuaca gelap. Saya berjaya diselamatkan nelayan lain, namun ayah tidak ditemui,” katanya.