Search This Blog

Monday, May 4, 2015

Korban gempa bumi Nepal cecah 7,250 orang


PENDUDUK tempatan mencari barangan milik mereka daripada kediaman yang musnah di bandar Sankhu, Lembah Kathmandu semalam.


KATHMANDU – Pasukan penyelamat mengeluarkan seorang lelaki berusia 101 tahun daripada runtuhan rumahnya selepas seminggu Nepal digegarkan gempa bumi kuat bermagnitud 7.9, kata pihak berkuasa semalam.
Mangsa, Funchu Tamang diselamatkan kelmarin dan hanya cedera ringan di pergelangan kaki dan tangannya selepas kediamannya ranap dalam gempa bumi pada 25 April lalu.
“Dia dibawa ke sebuah hospital daerah dengan helikopter. Keadaannya stabil,” kata seorang pegawai polis tempatan, Arun Kumar dari daerah Nuwakot, sekitar 80 kilometer ke barat daya Kathmandu.
Polis turut mengeluarkan tiga wanita dalam keadaan masih hidup dari celah runtuhan di daerah Sindhupalchowk semalam. Daerah itu adalah antara tiga kawasan paling teruk terjejas akibat gempa bumi tersebut.
Kelmarin pihak berkuasa menolak akan menemui lebih ramai mangsa terselamat di bawah timbunan runtuhan kediaman dan bangunan. Menurut pihak berkuasa, usaha kini tertumpu kepada penyaluran bantuan untuk beribu-ribu penduduk terjejas gempa bumi di Banjaran Himalaya.
Terdahulu, Menteri Kewangan Ram Sharan Mahat berkata, angka kematian dipercayai akan melonjak sebaik sahaja pasukan penyelamat sampai ke kampung-kampung di kawasan pergunungan di Nepal.
“Terdapat kampung-kampung yang kami ketahui telah musnah tetapi kami masih belum sampai ke semua lokasi itu,” katanya.
Menurut Pusat Operasi Kecemasan, angka kematian gempa bumi tersebut mencecah 7,250 orang setakat ini, manakala lebih 14,000 penduduk cedera.
“Lebih 100 kematian turut dicatatkan di India dan China,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam perkembangan berkaitan, sebanyak 51 mayat termasuk enam warga asing ditemui di laluan Langtang yang popular dalam kalangan pengembara dan pelancong asing.
“Kira-kira 100 rakyat asing masih hilang di kawasan itu,” kata seorang pegawai tempatan, Uddav Prasad Bhattarai. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0504&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3Z994Y3sO 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment