LEDANG - Tindakan pantas pasukan Bomba dan Penyelamat Tangkak memadam kebakaran di bahagian enjin sebuah kereta jenis Subaru di sini, berjaya mengelakkan kenderaan itu daripada hangus, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 pagi di Kilometer 166 Lebuh Raya Utara Selatan (arah selatan) itu, pemandu kereta, seorang lelaki berusia 24 tahun terselamat tanpa sebarang kecederaan selepas berjaya menyelamatkan diri dengan keluar daripada kenderaan miliknya.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tangkak, Tulus Suhanan berkata, seramai lima anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 6.19 pagi.

Menurutnya, apabila tiba di tempat kejadian, kenderaan tersebut sudah terbakar 30 peratus di bahagian enjin, sementara pemandunya sudah berada di bahu jalan dalam keadaan selamat.

“Kita ambil masa kurang 10 minit untuk padam api marak, sekali gus mengelakkan kebakaran merebak ke bahagian lain.

“Operasi tamat pada jam 7.10 pagi selepas pemeriksaan keseluruhan mendapati api telah padam sepenuhnya,” katanya.

Katanya, mangsa memberitahu kebakaran terjadi selepas dia terlanggar kereta Proton Waja yang berhenti di laluan kiri lebuh raya berkenaan selepas terbabit dalam kemalangan dengan kenderaan lain.

“Mangsa menyatakan dia tidak nampak Proton Waja itu berikutan keadaan agak gelap ketika kejadian.

"Akibat pelanggaran berkenaan, kereta Subaru terbabit hilang kawalan dan terbabas ke laluan kanan sebelum melanggar pembahagi lebuh raya.

“Susulan itu bahagian enjin kenderaan mangsa mengeluarkan api dan mangsa bertindak berlari ke bahu lebuh raya untuk menyelamatkan diri,” katanya.

Katanya lagi, beliau difahamkan pemandu dan penumpang Proton Waja hanya cedera ringan dan dihantar ke hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan.

Tambahnya, insiden tersebut turut menyebabkan laluan di lebuh raya berkenaan terhalang sejauh 500 meter.