Pekerja dan pasukan penyelamat terpaksa bekerja dari khemah-khemah dan tempat perlindungan sementara untuk mengerakkan operasi menghantar bantuan ke kawasan terbabit, selepas gempa bumi susulan menyebabkan bangunan-bangunan kerajaan di ibu negara ini rosak teruk.
Kerajaan Nepal yang mengakui terjejas teruk akibat gempa bumi pada 25 April lalu kini sedang bergelut untuk menghantar bantuan ke kawasan pergunungan terpencil di timur negara ini yang terjejas teruk dengan gempa susulan itu.
Keadaan itu menjadi bertambah buruk ekoran kompleks kerajaan Singha Durbar di Kathmandu mengalami kerosakan teruk dengan sebahagian daripada bangunan itu menjadi tidak stabil dan tidak dapat digunakan lagi.
Gempa susulan pada Selasa lalu berukuran 7.3 pada skala Richter telah menyebabkan berlaku kejadian tanah runtuh serta mengakibatkan banyak bangunan runtuh dan tidak stabil, selepas gempa bumi kuat pada 25 April lalu mengorbankan lebih 8,000 penduduk dan memusnahkan hampir 500,000 rumah kediaman.
Jurucakap Perdana Menteri, Uttar Kumar Khatri berkata, pasukannya kini beroperasi di luar khemah dan menyifatkn keadaan itu sebagai satu `situasi sukar’.
“Operasi kami buat masa ini tertumpu kepada pengurusan bencana.
Di Kathmandu sahaja menyaksikan 11 kematian dalam gempa susulan, kelmarin dan penduduk yang masih trauma menghabiskan masa sepanjang malam berada di luar bangunan kerana takut untuk pulang ke rumah masing-masing.
Dalam pada itu, satu operasi besar-besaran dilancarkan untuk mencari sebuah helikopter tentera Amerika Syarikat (AS) yang hilang bersama lapan penumpang diteruskan semalam masuk hari ketiga berturut-turut.
Helikopter tentera Nepal dan AS bersama berpuluh-puluh anggota tentera di lapangan meninjau kawasan pergunungan terpencil, lokasi helikopter itu dilaporkan hilang.
Sementara itu, jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Laxmi Prasad Dhakal berkata, jumlah keseluruhan kematian akibat gempa susulan kelmarin meningkat kepada 96 orang dengan lebih 2,500 penduduk cedera. – AFP