BANGKOK - Laporan pemeriksaan awal forensik terhadap 26 mayat dari  sebuah kubur besar berhampiran selatan Thailand tidak menunjukkan tanda kematian akibat keganasan.

Kelmarin, polis dan unit forensik merentas kawasan pergunungan untuk ke kem hutan di wilayah Songkhla yang didakwa pihak berkuasa mempunyai kaitan dengan penyeludupan manusia dan menggali kubur 21 mayat.

Lima mayat telah dikeluarkan terlebih dahulu sehari sebelumnya, iaitu beberapa ratus meter dari sempadan Thailand dan Malaysia.

Timbalan Komander Polis Wilayah Songkhla, Kolonel Triwit Sriprapa berkata, dari siasatan awal forensik, tiada tanda pada tulang atau luka yang mengaitkan kematian dengan sebarang keganasan.

"Kemungkinan kesemua mereka mati akibat penyakit dan pemakanan tidak seimbang," katanya.

Difahamkan, penemuan kem tersembunyi di dalam hutan di selatan Thailand  ada kaitan dengan penyeludan manusia di negara Asia Tenggara. - Reuters