PUTRAJAYA - Tindakan membocorkan maklumat sulit atau rahsia kerajaan oleh penjawat awam diakui berlaku namun tidak serius.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Joseph Entulu Belaun berkata, walaupun isu tersebut tidak serius tetapi ia perlu dibendung kerana tindakan membocorkan maklumat sulit kerajaan boleh mengancam keselamatan negara lebih-lebih lagi jika ia tersebar kepada pihak luar menerusi media sosial.

Entulu memberi amaran mana-mana penjawat awam yang didapati melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab itu akan berdepan dengan tindakan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972.

"Kebocoran ini tidak serius tetapi saya kena tegur kerana kalau tidak nanti orang akan kata OSA ini cuma 'action' (buat-buat) sahaja.

"Tetapi kalau boleh kerajaan tak mahu gunakan OSA ini sebab bila guna nanti macam-macam fitnah akan timbul, ada yang kata kerajaan tidak demokratik...jadi lebih baik tegur sebelum ia jadi satu isu besar," katanya ketika merasmikan Persidangan Suruhanjaya-Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Malaysia ke-18 di sini, hari ini.

Dalam pada itu Entulu menarik perhatian apabila berkata penelitian terhadap peraturan-peraturan, prosedur dan proses kerja sedia ada berhubung pengambilan calon penjawat awam perlu dikaji semula.

Katanya kajian semula itu penting untuk menangkis tanggapan negatif masyarakat bahawa individu yang memohon pekerjaan perlu mempunyai 'orang dalam' atau menggunakan 'cable' untuk memasuki perkhidmatan awam.

Tambahnya peperiksaan dalam talian atau 'online examination' yang dikendalikan oleh SPA telah memberi impak yang begitu signifikan kepada perkhidmatan awam selain dapat menjimatkan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM2.5 juta setahun.

Malah, beberapa negara luar termasuk Jepun, Indonesia, Vietnam, Namibia dan Brunei turut berminat untuk mempelajari kaedah dilaksanakan SPA.

Sementara itu, kenyataan SPA menyebut bagi tempoh 1 Januari hingga 30 April lalu, lebih 1.2 juta permohonan daripada pelbagai kaum di seluruh negara diterima untuk memasuki perkhidmatan awam.

Daripada jumlah itu 975,952 adalah Melayu; Bumiputra Sabah (95,124); Bumiputra Sarawak (67,686); India (39,169); Cina (18,333) dan lain-lain 23,905. - Bernama