Pihak yang terlibat dengan misi pencarian MH370 selama hampir setahun itu mengakui menghadapi kesukaran dan memerlukan lebih masa kerana masih gagal menemui sebarang petunjuk setakat ini.
Misi pencarian pesawat MH370 sudah memasuki bulan ke-15, setelah dilaporkan hilang sejak 8 Mac tahun lalu.
Kerajaan Australia dan Malaysia mengetuai misi pencarian pesawat itu yang hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing membawa 298 penumpang.
Siasatan mendapati pesawat itu berakhir di Lautan Hind.
Menurut kenyataan bersama Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) dan Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB), pihaknya telah menggandakan usaha dan pasukan mencari telah meluaskan pencarian ke kawasan seluas 120,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi.
Jelas mereka, pelan pencarian telah diubah untuk meneruskan misi pada musim sejuk serta untuk memastikan seluruh kawasan di selatan Lautan Hindi diterokai dengan cepat dan berkesan.
“Pencarian di kawasan itu diperluaskan dan telah dimulakan dengan memberi tumpuan di kawasan selatan termasuk mengambil kira faktor cuaca. Keselamatan setiap pasukan pencarian menjadi keutamaan kami.
“Menurut pakar yang terlibat dengan misi pencarian ini, kebarangkalian tertinggi untuk menemukan pesawat MH370 dalam kawasan carian 12,000 kilometer persegi dan mustahil bagi pesawat hilang di luar lokasi yang diberikan,” katanya.