Ronnie Green dari Hertford sedang bergambar sambil menggosok hidung haiwan itu di zoo tersebut di sebuah Taman Perhutanan di Los Cristianos sebelum haiwan itu tiba-tiba menyerang dan mengigit kaki kanak-kanak itu.
Ibu bapa Green tergamam melihat kejadian itu dan tidak mampu berbuat apa-apa untuk membantu anak mereka ketika haiwan itu membenamkan giginya mengigit Green yang meraung kesakitan.
Menurut ibu Green, Vanessa, 44, kejadian itu berlaku pada bulan lalu ketika mereka sekeluarga merancang meraikan Green dengan satu pengalaman ‘berenang bersama singa laut’, di Taman Perhutanan itu, sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-10.
Jelasnya. Green bergambar dengan haiwan itu dan kelihatan seronok bermain dengan singa laut itu di dalam kolam, sambil menggosok-gosok haiwan itu sebelum haiwan itu tiba-tiba menyerang anaknya.
“Tiba-tiba sahaja singa laut itu menggigit Green dan kami tergamam tidak mampu berbuat apa-apa, selain turut menjerit. Kami kemudian menarik kaki Green dan membawanya ke tepi kolam.
‘’Suami saya Steven kemudian membawanya ke hospital. Kesan darah dapat dilihat di merata-rata di tempat itu. Green seperti diserang histeria kerana kesakitan dan ketakutan.
“Green bernasib baik kerana masih hidup. Jika dia digigit di muka atau leher, saya tidak tahu apa yang akan terjadi,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Portal Mirror.
Sementara itu Green berkata: “Ketika dia masuk ke dalam kolam itu, singa laut itu terus berenang menuju ke arah kakinya. Ia sangat menakutkan.”
Vanessa berkata, kakitangan di taman itu tidak memberi sebarang bantuan perubatan kepada anaknya, mereka hanya memanggil sebuah teksi dan meminta teksi itu menghantarnya dan anaknya ke hospital di mana Green menerima beberapa jahitan.
Vanessa berkata, dalam kejadian itu pekerja taman itu yang perlu dipersalahkan dan bukan haiwan tersebut.