Search This Blog

Saturday, May 30, 2015

‘Kalau tunang tahu, nahas saya’


Manjung: “Tolonglah, jangan tahan saya. Kalau tunang tahu, nahas saya kerana saya sudah janji tak akan ambil ‘ubat’ lagi.” Demikian rayuan seorang lelaki berusia 35 tahun yang ditahan anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Manjung dalam Ops Perdana di Pulau Pangkor, dekat sini, kelmarin.
Dalam operasi yang bermula jam 7 malam Rabu lalu dan berakhir jam 5 petang kelmarin, lelaki terbabit merayu tidak ditangkap kerana disyaki terbabit dalam kegiatan penyalahgunaan dadah.
Lelaki terbabit antara 29 penagih dadah berusia antara 20 hingga 50 tahun yang ditahan AADK Daerah Manjung dalam operasi khas itu.
Ketika ditemui, lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Man berkata, ketika rumahnya diserbu, dia sedang tidur selepas pulang daripada menangkap ikan di laut sebelum dikejutkan pihak berkuasa.
Man yang akan berkahwin hujung tahun ini mengaku mengambil bahan terlarang sejak 15 tahun lalu dan pernah dipenjara serta ditahan di pusat pemulihan.
“Saya mula terbabit dengan penyalahgunaan dadah ketika berusia awal 20-an dan sejak itu, sudah tiga kali ditahan di pusat pemulihan dan dua kali dipenjarakan.
“Setiap hari, saya membelanjakan RM10 untuk membeli heroin daripada pembekal dan kini saya mula risau jika tunang mahu memutuskan pertunangan kami kerana sudah banyak kali dia memaafkan saya,” katanya ketika ditemui di Jeti Kastam, Kampung
Acheh, di sini, kelmarin.
Sementara itu, Ketua Pegawai AADK Daerah Manjung Sharuddin Abdul Salam berkata, 29 penagih ditahan dalam operasi yang dijalankan di lima kampung dan tiga pelantar ikan di sekitar Pangkor serta bot nelayan di perairan Pangkor.
“Ujian saringan air kencing mendapati semua penagih positif heroin, ganja, amphetamine serta methamphetamine dan jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan pengawasan AADK selama dua tahun atau dihantar ke pusat pemulihan dua tahun,” katanya.
Menurutnya, operasi membabitkan 36 anggota dan pegawai AADK Manjung dengan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung, Balai Polis Pangkor dan Pasukan Polis Marin, berdasarkan maklumat orang awam dan risikan AADK bagi membendung penyalahgunaan dadah.
Katanya, semua penagih itu ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (rawatan dan pemulihan) 1983.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/54449#sthash.5pJhJzch.dpuf

No comments:

Post a Comment