SEBUAH lori merempuh pondok tol menyebabkan jurutol wanita cedera di Plaza Tol Behrang, Lebuhraya Utara Selatan dekat Slim River, Ipoh, Perak, semalam.
IPOH 14 Mei – Seorang jurutol wanita di Plaza Tol Behrang, Lebuhraya Utara Selatan dekat Slim River cedera apabila pondok tol tempat dia sedang bertugas dirempuh oleh sebuah lori dalam kejadian pada pukul 5.30 petang ini.
Ketua Polis Daerah Tanjung Malim, Superintenden Ahmad Mat Isa berkata, mangsa, Hamidah Harun, 30, cedera di kaki akibat tersepit di dalam pondok tol yang rosak teruk akibat dirempuh lori.
Beliau berkata, pemandu lori terlibat, M. Donovan, 29, dan dua kelindan, T. Aravind, 18, serta Thiruasan Jaya Kumaran, 15, masing-masing mengalami kecederaan ringan.
Kata beliau, kejadian berlaku apabila sebuah lori dari Kuala Lumpur membawa bahan cecair kimia yang belum diketahui jenisnya hilang kawalan ketika memasuki plaza tol berkenaan dari Jalan Persekutuan.
“Rempuhan tersebut menyebabkan pondok tol ranap dan seorang jurutol wanita yang sedang bertugas tersepit di dalam pondok berkenaan.
“Wanita itu cedera di kaki manakala pemandu lori tersepit di bahagian pemandu. Kedua-duanya berjaya dikeluarkan oleh pihak bomba,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, dua kelindan lori berjaya keluar sendiri manakala jurutol dan pemandu lori yang cedera telah dibawa ke Hospital Slim River untuk rawatan.
Beliau berkata, anggota bomba terpaksa membersihkan bahan kimia yang tumpah di atas jalan raya dengan menutup laluan masuk dari Jalan Persekutuan ke Plaza Tol Behrang.
Katanya, kejadian itu disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
No comments:
Post a Comment