TELUK INTAN - Seorang buruh kontrak hilang tempat berteduh apabila rumah peninggalan arwah ibu dan ayahnya hangus dalam kebakaran di Kampung Parit 15A, di sini, lewat petang kelmarin.

Ketika kejadian, mangsa Mohd Ridwan Ishak, 44, berada di rumah kakaknya di Langkap sebelum dimaklumkan jiran mengenai kebakaran itu.

Jiran, Sharifah Razmah Awang, 48, berkata, ketika kejadian, dia berada di halaman rumahnya dan tiba-tiba terdengar bunyi satu letupan dari arah rumah Mohd Ridwan.

Menurutnya, selepas beberapa ketika, dia melihat asap hitam keluar dari rumah Mohd Ridwan dan segera menghubungi bomba bagi meminta bantuan.

“Terkejut dengan apa yang terjadi, saya menghubungi bomba,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini, semalam.

Hadir sama melawat Adun Sungai Manik,  Datuk Zainol Fadzi Paharuddin menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran.

Sementara itu, adik mangsa, Zulina Ishak, 41, berkata, dia bersyukur abangnya tidak berada di rumah pusaka tinggalan arwah ibu dan bapanya ketika kejadian.

Jelasnya, dia dimaklumkan, abangnya ketika itu berada di rumah kakak mereka di Langkap.

"Abang mempunyai masalah pembelajaran sejak kecil lagi mendapat bantuan  Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 sebulan malah bekerja di sekitar Langkap.

“Abang memang tinggal seorang diri di rumah ini tetapi kadang kala dia duduk di rumah kakak di Langkap,” katanya.

Sementara itu, Adun Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata, pihaknya bersimpati dengan kejadian yang berlaku ke atas Mohd Ridwan,

Beliau turut menyerahkan bantuan berupa wang ringgit dari Tabung Bencana Daerah untuk meringankan beban mangsa.