Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, masalah pelarian etnik Rohingya telah dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet baru-baru ini dan bersetuju agar Anifah diberikan tanggungjawab sepenuhnya untuk menyelesaikan perkara tersebut.
Katanya, kerajaan Malaysia mengakui masalah pelarian terbabit adalah kritikal dan memberi kesan besar kepada negara ini.
“Jadi, kita sudah bincang dalam Kabinet dan menyerahkan kepada Menteri Luar untuk mencari langkah-langkah sewajarnya menangani isu tersebut. Beliau akan berbincang dengan pihak kerajaan Myanmar, Indonesia dan Thailand,” katanya dalam sidang akhbar semasa menghadiri majlis Pemimpin Bersama Masyarakat di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Limbang di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Ke­tua Menteri mewakili Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang; Menteri Perumahan negeri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg; Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II negeri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan; Ahli Parlimen Limbang, Hasbi Habibollah; Ahli Parlimen Lawas, Datuk Henry Sum Agong; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, Dr. Abdul Rahman Ismail dan ADUN Batu Danau, Paulus Palu Gumbang.
Beliau diminta mengulas dakwaan lebih 6,000 pelarian Rohingya dari Myanmar dan Bangladesh yang dikesan masih berada di tengah laut dan bersedia masuk ke negara ini pada bila-bila masa.
Akhbar hari ini melaporkan Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM) dalam kenyataan di Bangkok, Thailand menggesa kerajaan negara-negara Asia Tenggara termasuk Malaysia membantu menyelamatkan ribuan orang hanyut itu.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, kerajaan tidak dapat memutuskan taraf atau status pelarian terbabit kerana mereka mempunyai kaitan dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR) dan kerajaan Myanmar.
“Jadi, tak perlulah saya sebutkan apa taraf mereka sebab masalah ini ada hubung kait dengan UNHCR dan kerajaan Myanmar,” ujarnya.