IPOH - Seorang wanita bersama bekas suaminya ditemui cedera parah di sebuah rumah di Taman Kuning Sari, Pokok Assam, Sabtu lalu.

Kedua-dua mangsa ditemui dalam keadaan terbaring di bilik tidur utama rumah itu kira-kira jam 6.20 pagi oleh anak perempuan mereka berusia 14 tahun.

Pasangan yang telah bercerai November tahun lalu itu ditemui dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan kelar di bahagian leher kiri dan tikaman di dada serta beberapa anggota badan lain.

Pemangku Ketua Polis Daerah Taiping, Superintendan Ismail Che Isa berkata, siasatan awal mendapati, berlaku pertengkaran sebelum mereka ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Suami mangsa dipercayai  datang ke rumah bekas isterinya itu sebelum berlaku pergaduhan antara kedua-dua mereka.

“Pemeriksaan di lokasi kejadian turut menemui sebilah pisau rambo berdekatan mangsa yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu,” katanya.

Kedua-dua mereka masih dirawat di Hospital Taiping dan keadaan wanita itu dilaporkan stabil manakala lelaki berkenaan kritikal.

Ismail berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui punca sebenar kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.