NEW YORK - AMERIKA SYARIKAT. Seorang wanita dihukum penjara 18 tahun selepas didapati bersalah membunuh anaknya yang juga penghidap penyakit autisme, lima tahun lalu.
 
Menurut laporan AP, Gigi Jordan, 54 seorang usahawan dan jutawan meracun Jude Mirra, 8 menggunakan ubat jenis Ambien dan Xanax dalam dos yang merbahaya.
 
Sebelum ini, Jordan memberitahu mahkamah bahawa Mirra telah diganggu secara seksual oleh ayahnya dan beberapa lelaki.
 
Jordan mendakwa beliau membunuh Mirra pada Februari 2010 untuk 'menyelamatkan' anaknya itu.
 
Hakim Mahkamah Tinggi, Charles Solomon bagaimanapun tidak mempercayai dakwaan Jordan.
 
"Beliau ada duit dan macam-macam lagi, dan suspek membuat keputusan untuk membunuh anaknya. Banyak lagi ikhtiar yang mampu beliau lakukan," jelas Solomon.
 
Hakim juga memarahi Jordan kerana tidak menunjukkan sebarang penyesalan.
 
"Beliau ada masa selama lima tahun untuk fikirkan perkara ini. (Dia) tak pernah berkata "saya minta maaf" walaupun sekali," kata hakim tersebut.
 
Pegawai pendakwaraya menegaskan pembunuh tersebut dilakukan dengan niat dan dilakukan kerana Jordan tidak lagi mempedulikan anaknya.