TRIANG – Tiga rumah teres di Taman Triang Maju, di sini hampir rentung dalam kebakaran petang semalam.

Api yang dipercayai dari rumah tengah menyebabkan hampir keseluruhan perabot dan harta benda musnah sekali gus merebak ke dua buah rumah bersebelahan.

Mangsa, Fatimah Ismail, 46 berkata, semasa kejadian, dia dalam perjalanan ke Bandar Bera untuk menjemput anaknya yang terlibat dalam pertandingan bola jaring sempena Fiesta Bera, dan hanya adiknya, Fazilah, 43 serta dua anaknya berada di rumah.

Menurutnya, dia dihubungi jiran memaklumkan perkara itu dan berpatah balik ke rumah.

“Besar sungguh dugaan yang saya hadapi. Tapi syukur, semuanya selamat termasuk dokumen-dokumen penting kecuali perabot dan barang elektrik,” katanya kepada Sinar Harian.

Fatimah berkata, buat masa ini, dia perlu melengkapkan dokumen untuk memohon tuntutan insuran rumah, dan menumpang di rumah adiknya buat sementara waktu.

Anak Nampak Api

Fazilah memberitahu, sebelum kejadian, dia cuba menidurkan dua orang anaknya tetapi terbau hangit yang datang dari bilik belakang.

Katanya, pada awalnya dia tidak mengesyaki apa-apa sehingga salah seorang anaknya menjerit-jerit kerana melihat api.

“Memang saya ada bau hangit tapi saya tidak syak apa-apa. Lepas itu, anak pula menjerit beritahu ada nampak api.

“Jadi, saya segera bawa anak-anak keluar rumah. Mujur pada masa itu, kami belum tidur, kalau tidak kami sudah rentung,” kata Fazilah.

Adik Heret Abang Keluar

Sementara itu, mangsa Nur Azalin Nadia Razlan, 12 berkata, semasa kejadian dia baharu hendak masuk bilik tetapi dikejutkan dengan ketukan pintu yang bertalu-talu dari jiran yang juga mangsa kebakaran.

Katanya, apabila diberitahu ada api, dia segera mengejutkan abangnya yang sedang tidur di bilik belakang.

“Saya cuba kejut abang tetapi abang tidak mahu bangun. Jadi saya heret dia keluar dari bilik sehingga dia sedar,” katanya.

Bagaimanapun, abangnya, Mohd Fadzli, 21 bertindak berani memasang air paip dan dibiarkan mengalir kerana tidak mahu bahang panas menjadi penyebab api merebak.

Terima Bantuan

Musibah menimpa tiga keluarga ini mendapat perhatian daripada Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Wanita Umno Bahagian, Sabariah Saidan yang turut datang menziarahi mangsa.

Selain menyampaikan bantuan kewangan bagi meringankan beban mangsa, bantuan untuk membaiki kerosakan rumah terbabit akan turut dihulurkan.

Ismail Sabri berkata, pihaknya akan tunggu laporan bomba sama ada rumah-rumah itu layak diduduki atau tidak. Sekiranya masih selamat didiami, bantuan akan diberikan untuk baiki apa yang perlu sebelum mereka menerima bayaran insuran.

“Ini kerana tuntutan insuran selalunya mengambil masa yang lama sekurang-kurangnya lima atau enam bulan. Dan dalam tempoh itu, mereka (mangsa) mungkin tiada tempat tinggal kalau rumah lewat dibaiki,” katanya.

Dalam kejadian itu, pasukan bomba yang diketuai Pegawai Bomba Kanan 11, Mohd Zamri Sidek berjaya mengawal kebakaran dalam tempoh 30 minit, dan setakat ini, punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.