Search This Blog

Monday, May 4, 2015

Gempa Nepal: Lapangan terbang ditutup akibat landasan rosak

ISNIN, 4 MEI 2015 @ 7:48 AM


KAPAL Tentera Udara AS C-17 Globemaster III ketika mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan di Kathmandu, Nepal.- Foto AP
KATHMANDU: Landasan rosak memaksa pihak berkuasa Nepal menutup lapangan terbang utama daripada pesawat bersaiz besar yang menghantar bantuan untuk berjuta-juta orang berikutan gempa bumi kuat melanda negara itu.

Bagaimanapun, pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, secara keseluruhan keadaan logistik bertambah baik.

Pegawai pentadbir kerajaan, Gautam Rimal berkata, angka kematian meningkat kepada 7,276 orang termasuk enam warga asing dan 45 rakyat tempatan yang ditemui di laluan trekking popular.


Sehubungan itu, polis pelancongan Nepal berkata, sejumlah 57 orang asing terbunuh akibat gempa bumi kuat berkenaan pada 25 April dan 109 lagi dilaporkan masih hilang termasuk 12 rakyat Russia dan sembilan Amerika Syarikat.

Landasan utama lapangan terbang di sini ditutup sementara kepada pesawat bersaiz besar selepas ia mengalami kerosakan.

Pengurus Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuwan, Birendra Shrestha berkata, landasan itu dibina bagi mengendalikan pesawat bersaiz sederhana tetapi tidak berupaya mengendalikan pesawat tentera dan kapal kargo besar yang menghantar bekalan bantuan, makanan, ubat-ubatan dan pekerja penyelamat serta sukarelawan.

Terdapat laporan berkaitan keretakan di landasan itu dan masalah lain di lapangan terbang tunggal yang boleh mengendalikan kapal terbang.

"Anda hanya ada satu landasan dan anda ada kemudahan terhad dan lapangan terbang itu masih mengendalikan kapal terbang komersial," kata penyelaras PBB untuk Nepal, Jamie McGoldrick.

"Anda perlu mengutamakan bekalan bantuan yang masuk ke sini, pasukan mencari dan penyelamat yang memenuhi lapangan terbang ini.

"Saya fikir sebaik mereka dapat menggunakan sistem yang lebh baik, saya fikir ia semakin baik," katanya.

Beliau berkata, kesesakan penghantaran bekalan bantuan semakin berkurangan dan kerajaan Nepal sudah memudahkan urusan kastam dan sekatan birokratik terhadap bantuan kemanusiaan berikutan aduan daripada PBB.

"Kerajaan sudah ambil perhatian terhadap sebahagian perkara yang kami nyatakan kepada mereka," katanya. - AP

No comments:

Post a Comment