Mereka turut menggali di sebalik salji dan air batu bagi mencari tanda-tanda penduduk yang hilang selepas penemuan 40 orang mayat semalam, kata jurucakap kerajaan, hari ini.
Mayat itu ditemukan semalam dan kelmarin di perkampungan di daerah Langtang, kira-kira 60 kilometer di utara Kathmandu yang menjadi laluan popular pendaki dari Barat dengan keseluruhan kampung itu yang turut menempatkan 55 rumah tumpang buat pendaki.
“Sukarelawan tempatan dan anggota polis menggali salji sedalam 1.82 meter dengan penyodok bagi mencari lebih ba­nyak mayat,’’ kata jurucakap itu.
Dalam pada itu, penolong ketua pegawai daerah Langtang, Gautam Rimal berkata, jumlah mangsa terbunuh termasuk tujuh rakyat asing dengan hanya dua dikenal pasti setakat ini.
Katanya, masih tidak jelas berapa ramai penduduk yang berada di Langtang ketika runtuhan salji itu berlaku dengan pegawai kerajaan lain mendakwa, sebanyak 120 penduduk di­timbus salji tersebut.
“Kami tidak dapat memasuki kawasan itu sebelum ini kerana hujan,’’ kata Birokrat Kanan Daerah, Uddhav Bhattarai ketika dihubungi semalam.
Dalam kejadian berasingan di daerah lain, tiga penduduk berjaya dikeluarkan hidup-hidup di sebalik runtuhan rumah semalam, lapan hari selepas kejadian itu berlaku.
Beberapa media tempatan melaporkan, seorang warga emas, Funchu Tamang, berusia 101 tahun turut ditemukan di sebalik sisa runtuhan sebuah ba­ngunan, semalam.
Kerajaan Nepal berkata, gempa bumi pada 25 April itu mengorbankan sebanyak 7,276 orang dan mencederakan lebih 14,300 penduduk setakat ini.
 – REUTERS