KATHMANDU - NEPAL. Satu lagi gempa bumi kuat melanda Nepal berdekatan sempadan China di antara bandar utama Nepal, Kathmandu dan Gunung Everest kurang dari tiga minggu selepas negara itu dilanda gempa bumi yang mengorbankan lebih 8000 nyawa.

Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat berkata, gempa bumi berukuran 7.3 skala ritcher berlaku pada kedalaman 18.5 kilometer.

Gegaran susulan 5.6 dan 5.3 skali ritcher turut berlaku selang 30 minit kemudian.

Gempa bumi itu menyebabkan penduduk berlari meninggalkan rumah masing-masing.

Memetik AP, gegaran kuat turut dirasai di Utara India manakala gempa bumi yang turut dirasai di New Delhi menyebabkan orang ramai berpusu - pusu  meninggalkan bangunan.

Sebelum ini gempa bumi berukuran 7.9 pada skala Richter menggegarkan Nepal pada 25 April lalu dan memusnahkan beberapa bangunan berusia berabad di ibu negara Kathmandu dan kawasan sekitarnya.