Penemuan terbabit disahkan oleh Timbalan Supritendan Polis Daerah Rasuwa, Pravin Pokharel yang mengetuai misi mencari dan menyelamat (SAR).
Bagaimanapun, identiti kesemua mangsa masih belum dikenal pasti.
Dalam perkembangan sama, ahli biroktrat Rasuwa, Uddhav Bhattarai berkata, gerakan mencari diteruskan di kawasan terpencil di kawasan pergunungan yang menjadi lokasi pendakian selepas sekurang-kurangnya 200 orang dilaporkan masih hilang di daerah terbabit termasuk pendaki dan penduduk kampung.
“Pada awalnya, kami tidak mampu melakukan misi SAR disebabkan hujan dan cuaca mendung,” katanya.
Kerajaan Nepal mengesahkan angka korban akibat gempa berukuran 7.9 skala Richter yang melanda negara ini pada minggu lalu, meningkat kepada 7,040 orang dan mangsa yang cedera berjumlah 14,123 orang.
Sementara itu, anggota penyelamat dan pesawat tentera Amerika Syarikat (AS) dijangka tiba hari ini, lewat sehari daripada jadual, bagi membantu proses penghantaran bekalan bantuan ke kawasan di luar Kathmandu.
Jurucakap Tentera Marin AS, Brigedier Jeneral Paul Kennedy dalam kenyataannya berkata, sekurang-kurangnya 100 anggota tentera AS terlibat dalam operasi berkenaan menggunakan enam pesawat tentera termasuk dua buah helikopter.
Dalam perkembangan berasingan, Wakil Tetap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Jamie McGoldrick berkata, kerajaan Nepal perlu melonggarkan pemeriksaan kastam bagi memudahkan penghantaran bekalan bantuan dari luar negara yang semakin meningkat.
Jelasnya, pihak kastam Nepal sepatutnya tidak perlu membuang masa memeriksa barangan bantuan seperti tuna dan mayones.
“Mereka tidak perlu menggunakan kaedah pemeriksaan kastam yang ketat pada waktu kecemasan ini.
“Malah pihak kastam, sepatutnya mengecualikan pemeriksaan terhadap bekalan bantuan bagi memudahkan penyaluran bantuan kepada mangsa bencana,” katanya. – REUTERS