MUAR - Pasukan Balai Bomba dan Penyelamat daerah ini mengambil masa empat jam untuk memadamkan kebakaran kilang membancuh cat perabot di Batu 7 ½ Bakri, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu telah memusnahkan keseluruhan bahagian kilang memproses cat perabot yang di dalamnya terdapat pelbagai jenis mesin serta dua jentera angkut susun dan sebahagian stor menyimpan cat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muar, Marzuki Ismail berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan jam 8 pagi, seramai 30 anggota termasuk enam dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Gambir bergegas ke tempat kejadian.

Menurutnya, operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan 2 dari Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muar, Johar Tumin itu tamat jam 12.20 tengah hari selepas berjaya memadamkan keseluruhan kebakaran.

“Kejadian disedari pengawal keselamatan kilang jam 7.30 pagi apabila ternampak asap keluar daripada bahagian belakang kilang yang bercantum dengan pejabat.

“Pada mulanya lelaki terbabit masuk ke dalam kilang, cuba untuk padam api menggunakan alat pemadam khas tetapi tidak berjaya apabila api marak tiba-tiba selepas salah satu tong mengandungi cecair thinner (pelarut) meletup,” katanya di pejabatnya di Jalan Salleh, di sini.

Beliau berkata, pasukan bomba tiba di lokasi kejadian jam 8.13 pagi dan ketika itu mendapati api marak diikuti beberapa letupan dipercayai daripada tong paint thinner.

“Salah satu tong cecair thinner tumbang dan melimpah ke lantai sehingga ke stor berhampiran mengakibatkan api merebak ke kawasan berkenaan.

“Tindakan pantas pasukan kita berjaya menghalang api daripada merebak ke bahagian bangunan belakang dan mengelakkan stor terbakar keseluruhannya,” katanya.

Katanya, semasa kejadian tiada pekerja kerana operasi kilang bermula jam 8.30 pagi sehingga 5.30 petang.

Tambahnya, kilang yang beroperasi sejak 2006 itu mempunyai 40 pekerja iaitu 10 warga Nepal, seorang Myanmar dan selebihnya pekerja tempatan.

“Pemadaman api menggunakan air dan buih khas, bagaimanapun punca sebenar kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.