Search This Blog

Wednesday, May 13, 2015

Dua beradik cari lembu menggigil


Pasir Puteh: Dua beradik menggigil seluruh badan sebaik melihat seorang lelaki menggelupur kesakitan sedang dijilat api dalam satu lubang di kebun kelapa sawit Jalan Kebun Cherang Tuli, Padang Pak Amat, dekat sini, petang kelmarin.
Mereka dikatakan memasuki kebun berkenaan bagi mencari lembu peliharaan mereka pulang ke kandang.
Bagaimanapun, tiba-tiba mereka ternampak kepulan asap dan beranggapan mungkin ada orang sedang membakar sampah dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu.
Detik cemas itu diceritakan kepada abang mereka berusia 50 tahun selepas dua beradik itu enggan ditemubual wartawan Harian Metro kerana masih trauma.
Lelaki itu berkata, apabila kedua-dua adiknya itu cuba menghampiri kepulan asap berkenaan seorang daripada mereka terdengar suara jeritan meminta tolong menyebabkan mereka berdua cemas seketika.
Katanya, dua beradik berusia 40 dan 21 tahun itu cuba memberanikan diri menghampiri lokasi sebelum terkejut melihat seorang lelaki terbakar dijilat api di dalam satu lubang.
“Keadaan itu menyebabkan adik saya terus menggeletar kerana terlalu takut sebelum bergegas berlari keluar.
“Mereka terus hubungi saya sebelum memaklumkan mengenai kejadian itu kepada pihak polis,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, kelmarin.
Difahamkan, lokasi kejadian agak terpencil dari rumah penduduk kampung kecuali berhampirannya terdapat sebuah banglo serta blok bangunan sarang burung layang-layang.
Ketika ditemui, mangsa dipercayai masih nyawa-nyawa ikan sebelum meninggal dunia, beberapa minit kemudian.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/50584#sthash.AzS38lbD.dpuf

No comments:

Post a Comment