Mohd. Zulhilmi Zulkifly (dua dari kanan) bersama pegawainya melihat sebahagian daripada 19 PATI warga Bangladesh dan Myanmar berumur lingkungan 13-32 tahun yang ditahan di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin Padang Besar, Perlis, baru-baru ini.
KANGAR 3 Mei – Jabatan Imigresen tidak menolak kemungkinan penemuan ‘kubur besar’ di Bukit Khao Hua Chang, berhampiran Padang Besar, Wilayah Songkhla kelmarin, mempunyai kaitan dengan kumpulan warga asing seramai 19 orang yang ditahan di Wang Kelian dekat sini, bulan lalu.
Menurut Timbalan Pengarah Imigresen negeri, Mohd. Zulhilmi Zulkifly, berdasarkan siasatan terhadap warga Bangladesh dan Myanmar itu, mereka bersama 300 orang lagi memasuki Thailand dengan menaiki sebuah bot besar sebelum ditahan ketika berjalan kaki di Wang Kelian.
Katanya, pihaknya bagaimanapun tidak dapat memastikan kesahihan sama ada terdapat penglibatan rakyat Malaysia sebagai tekong darat dalam kes berkenaan.
“Namun kita tidak menolak kemungkinan kewujudan kem dan kubur besar di Songkhla itu ada kaitan dengan sekumpulan warga asing yang kita tahan baru-baru ini kerana mereka datang dalam jumlah yang ramai.
“Ketika ditemukan semasa ditahan di Wang Kelian, kumpulan warga asing itu juga dalam keadaan lemah dan kelaparan kerana tidak diberi makan serta minum berhari-hari,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Pada 13 April lalu, Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan 19 PATI di kawasan berbukit di Wang Kelian yang berusia antara 13 hingga 31 tahun.
Berdasarkan maklumat, kesemua warga asing itu telah membayar wang tunai kira-kira RM9,000 setelah dijanjikan pekerjaan oleh ejen di negara mereka.
Mereka kemudian dibawa menaiki sebuah bot besar bersama PATI yang lain ke Thailand dan menempuh perjalanan selama sebulan seterusnya dipaksa berjalan kaki selama sebulan lagi sehingga ke sempadan negara ini.
Lebih malang, sebaik sahaja memasuki sempadan negara ini, kesemua mereka ditinggalkan begitu sahaja oleh tekong darat yang dipercayai ada kaitan dengan rakyat Malaysia.
Dalam pada itu, pihak Konsul Malaysia di Songkhla akan mendapatkan maklumat lanjut berhubung penemuan ‘kubur besar’ berkenaan.
No comments:
Post a Comment