CHENGDU - CHINA. Rakaman seorang pemandu wanita yang dibelasah pemandu lelaki yang tersebar sejak 3 Mei lepas dikatakan berpunca dari perbuatan wanita tersebut yang menukar lorong pada saat akhir dan berlumba.

Menurut Star Asia Report, rakaman perbuatan Lu Qin, 28, menukar lorong pada saat akhir tersebar ketika beliau dirawat di hospital kerana patah tulang rusuk akibat dibelasah Zhang Xi.

Difahamkan, Qin juga memandu laju umpama mengajak Xi berlumba sejurus menukar lorong.

Rakaman kedua yang dilaporkan diambil dari kamera kereta Xi menyebabkan Qin dihentam teruk oleh warga maya, di mana sesetengah dari mereka berpendapat Qin patut dibelasah.

"Bertindak ganas bukan jawapannya tetapi jika isteri dan anak anda diancam pemandu biadap, mungkin anda akan lakukan perkara yang sama (membelasah)," kata Christopher.

"Dia (Qin) memotong lorong dengan biadab dan juga ajak berlumba. Padan mukanya," kata Gan.

Namun begitu, terdapat juga komen pelayar yang mengatakan tindakan Xi membelasah Qin juga sebagai perbuatan kejam.

"Tak kira perbuatan Xi betul atau salah, seorang lelaki tidak patut memukul seorang perempuan," kata Alan.

"Keadilan jalanan tidak patut diamalkan. Apa yang akan anda buat jika yang dibelasah tersebut adalah isteri, anak perempuan atau ibu anda?" luah Sebastian.

Laporan polis mengatakan Xi yang ditahan reman akan menghadapi tuduhan mendatangkan kecederaan kepada orang awam.

Seorang pegawai polis Chengdu memberitahu, kejadian mungkin dapat dielakkan jika Qin tidak memandu dengan biadap dan mengajak Xi berlumba.