Kebanyakan daripada mangsa yang terlibat dalam penipuan itu ialah golongan berusia pertengahan dan wanita yang kesunyian termasuk mereka yang memegang jawatan besar.
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Melaka, Superintenden Ee Khong Koy berkata, tindakan segelintir mangsa yang begitu terdesak untuk mencari cinta menyebabkan mereka mudah menjadi mangsa penipuan sindiket ini.
Menurutnya, kebanyakan mangsa berusia antara 41 hingga 50 tahun sering terpedaya dengan pujuk rayu kumpulan ini yang menggunakan pelbagai taktik dalam laman sosial untuk memerangkap mangsa.
“Antara mangsa yang terlibat mempunyai kerjaya yang menarik antaranya peguam, akauntan dan doktor namun mereka ini tidak terkecuali terpengaruh dengan pujukan dan rayuan palsu teman lelaki yang baru dikenali menerusi laman sosial iaitu Facebook,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini hari ini.
Khong Khoy memberitahu, dalam satu kes terbaharu seorang pesara berusia 63 tahun menjadi mangsa penipuan sindiket ini apabila sanggup mengeluarkan wang simpanan dalam akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja selain meminjam daripada syarikat pinjaman dan kerugian sebanyak RM500,000.
Ujarnya, kejadian berlaku tahun ini apabila mangsa seolah-olah tidak mengambil peduli amaran polis berhubung penipuan cinta siber dan termakan dengan pujukan lelaki yang dikenalinya menerusi laman web sosial.
“Selain itu polis turut memandang serius mangsa penipuan ini yang berusia antara 30 hingga 40 tahun kerana golongan ini merupakan kedua tertinggi menjadi mangsa penipuan,” katanya.