BELURAN - Seorang guru maut apabila kereta dipandunya bertembung dengan bas ekspres di Km4, Jalan Telupid-Ranau di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Sivanathan Velautham berkata, dalam kejadian kira-kira 2.35 petang itu, Ahmad Firdaus Husin, 31, guru di Sekolah Kebangsaan Wonod, Telupid, meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, akibat pertembungan itu, kereta Toyota Vios itu diseret kira-kira 50 meter dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat membantu mengeluarkan mayat guru itu yang tersepit.

“Mayat guru yang berasal dari Melaka itu dihantar ke Hospital Telupid untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Katanya, pemandu bas ekspres itu yang berumur 29 tahun ditahan untuk membantu siasatan. - Bernama