WARSAW - POLAND. Seorang lelaki digigit beruang selepas menceroboh kandang binatang terbabit di sebuah zoo, Ahad lepas.
Menurut Yahoo News, beruang betina tersebut mengigit tangan penceroboh yang kemudiannya bertindak menumbuk binatang berkenaan.

Lelaki tersebut kemudiannya melarikan diri.

Seorang saksi yang merakam beberapa foto ketika kejadian memberitahu, penceroboh berkenaan seperti di bawah pengaruh alkohol atau dadah.

Jurucakap zoo berkenaan, Maria Krakowial berkata, penceroboh tersebut bernasib baik kerana berjaya keluar dari kandang tersebut hidup-hidup.

"Kandang tersebut dipasang kawat duri dan tiada siapa yang waras akan cuba ceroboh.

"Beliau (penceroboh) terselamat tapi kami tidak tahu di mana dia berada sekarang," kata Krakowial.

Polis yang menyiasat kejadian tersebut menjumpai sebuah gelang disyaki milik penceroboh berkenaan dan beberapa titisan darah di tempat kejadian.

Penjaga beruang berkenaan yang diberi nama Sabina memberitahu, beruang betina tersebut adalah jinak dan peramah.

"Penceroboh tersebut bernasib baik kerana tidak cedera parah," katanya.