BAYI lelaki yang baharu dilahirkan dijumpai di dalam longkang di Felda Lok Heng, Kota Tinggi, Johor, kelmarin.
Difahamkan, wanita yang belum berumah tangga itu merahsiakan kandungannya daripada pengetahuan keluarga dan melahirkan bayi lelaki tersebut selepas dua jam berada di dalam tandas dengan alasan mengalami sakit perut.
Untuk menutup rahsianya, bayi tersebut dibuang melalui ruang antara dinding dan bumbung tandas tersebut sebelum dia membersihkan diri dan bergaul dengan ahli keluarganya seperti tiada apa-apa yang berlaku.
Bagaimanapun, suara bayi menangis di belakang rumah mengejutkan tuan rumah dan keluarganya yang bertandang ke tanah rancangan tersebut bersempena cuti umum sebelum menemukan bayi itu dengan mempunyai kesan darah dan masih bertali pusat.
Ketua Polis daerah, Superintenden Rahmat Othman berkata, pihaknya mendapat maklumat tentang kejadian daripada seorang penduduk pada pukul 2.30 petang semalam dan sepasukan polis telah dihantar ke lokasi kejadian.
“Bayi itu yang ditemukan dalam keadaan tertiarap dan sedang menangis di dalam longkang dibawa ke Klinik Kesihatan Felda Lok Heng sebelum dirujuk ke Hospital Kota Tinggi dan dikejarkan ke Hospital Sultan Ismail untuk rawatan lanjut.
“Berikutan itu, kita menahan seorang wanita dipercayai ibu bayi tersebut berusia 27 tahun yang beralamat dari Ulu Tiram,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Rahmat, wanita terbabit telah ditahan reman selama tiga hari sehingga esok dan kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.