LONDON - BRITAIN. Kira-kira 300 penghuni termasuk studio terkenal Britain’s Got Talent terpaksa dipindahkan berikutan penemuan sebutir bom lama di kawasan berhampiran studio terbabit.

Memetik laporan portal Metro.co.uk, bom yang dipercayai tinggalan Perang Dunia Kedua itu ditemui oleh pekerja pembinaan berhampiran Stadium Wembley.

Menurut sumber dari pihak berkuasa, bom tersebut dipercayai dijatuhkan oleh tentera Nazi ketika melakukan serangan udara ke atas Kota London pada tahun 1940-an.

 “Kawasan itu telah dikosongkan dalam lingkungan 400 meter. Bom tersebut merupakan bahan letupan yang masih aktif dan boleh meletup pada bila-bila masa sekiranya berlaku kesilapan.

“Adalah penting bagi semua pihak untuk mematuhi arahan polis,” katanya.

Bom tersebut hanya berjaya dimatikan pada petang semalam dan dipindahkan ke lokasi yang lebih selamat.